Claim Ownership

Author:

Subscribed: 0Played: 0
Share

Description

 Episodes
Reverse
"Buku adalah wasilah," ujar Abang Rosli Ibrahim, dan dia mula membibit dalam sedu, kisah si ayahnya membawa pulang buku yang dikutip dari tong sampah untuk anaknya membaca. "Apa sahaja yang kau lalui, harus ada cinta kepada pengetahuan," ujarnya lagi, dan untuk Abang Rosli, ayahnya adalah intelektual sejati. Sosok ayahnya, saban seusai menarik beca, akan memperuntukkan sedikit wang untuk membeli buku dan akhbar untuk anak-anaknya membaca. "Ramai orang membaca, tetapi tidak merasa gelisah," sambungnya lagi.
#PRNJohor melabuhkan tirai, dengan Barisan Nasional kembali ke tampuk kuasa pemerintahan yang membawa bersamanya lebih 2/3 bilangan kerusi DUN. Dalam siri #MeracikIsu kali ini, Koi, Azizi, dan Azan bersama-sama membuat sorotan dan menganalisa fenomena politik negara, masa depan politik Melayu, keberantakan etnik dan undi, dan persoalan-persoalan seputarnya. Analisa yang diperikan melalui sudut pandang sosiologikal menjadi landasan perbincangan dalam memberi faham bagaimana operasi politik yang berlaku di Malaysia, dan PRN Johor adalah kajian kes yang terkini untuk diperhatikan. Pemerhatian pada tingkat individu, masyarakat dan institusi memberikan penjelasan yang masuk akal akan senario politik yang kita gulati kini dan ke mana arah tuju perginya. Dalam Bahagian I, tumpuan diberikan khusus terhadap Pilihan Raya Negeri Johor, dan Bahagian II yang akan menyusul, memberi tumpuan kepada analisa dan jangkaan untuk Pilihan Raya Umum ke-15.
Temasya #MenganyamNusa melabuh tirai dengan wawancara khas bersama Tun Dr. Mahathir pada 16 Sept. Untuk menutup, Azan Safar dan Teo Lee Ken, masing-masing mewakili Kawah Buku dan Institut Nyala—pekumpulan di belakang temasya ini, duduk bersama dan menyorot kembali keseluruhan temasya bermula dari perbincangan bersama kumpulan Orang Asli, seterusnya ingatan ratifikasi Perlembagaan Malaysia, dan tentang muzik, sastera, serta hal-hal berselirat dengan identiti kebangsaan.
Sebahagian masyarakat Malaysia membenci Mahathir. Bagi mereka, Mahathir adalah punca segala yang salah dan silap pada Malaysia hari ini. Sebahagian lagi menyanjungi Mahathir. Bagi mereka, segala kemajuan infrastruktur, pembangunan dan kemodenan Malaysia pada hari ini adalah hasil buah tangan Mahathir. Sosok enigma yang tidak mudah untuk dikategorikan secara perduaan (binary). Hitam, putih, kelabu dan warna-warna lain tersulam di dalam anyaman biografi seorang Mahathir. Tapi suatu hal yang jelas ialah Mahathir adalah gergasi politik Malaysia. Legasi beliau baik yang positif, mahu pun negatif sudah terpahat kejap dalam perjalanan sejarah Malaysia. Bermula sebagai seorang nasionalis Melayu, Mahathir kemudiannya diberi amanah untuk menerajui Malaysia bukan sekali, tapi dua kali. Sepanjang tempoh Mahathir memimpin Malaysia sebanyak dua kali itu, keperluan untuk mengimbangi antara dilemma Melayu yang digeluti beliau dan Bangsa Malaysia yang dicitakan beliau adalah antara kerumitan yang tak terselesai. Justeru, wawancara khas ini akan cuba merungkai beberapa jalur anyaman yang tersulam di dalam idea yang mendasari pemikiran Mahathir, khususnya mengenai persoalan dilema Melayu, Bangsa Malaysia, identiti kebangsaan, keseimbangan ekonomi antara kaum, hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak, sistem nilai masyarakat, korupsi dalam politik Malaysia, serta pergulatan antara Islam dan politik. Apakah idea dan pemikiran Mahathir masih relevan atau sudah usang atau memerlukan pengubahsuaian, sama-sama kita nilai dengan kritis menerusi wawancara khas bersama beliau ini. Wawancara bersama Tun Dr. Mahathir dikendali sepenuhnya oleh Azan Safar dan Ruhan Shahrir dari Kawah Buku, pada 18 Ogos 2021. Penghargaan turut buat Perdana Leadership Foundation dan pasukan Tun Dr. Mahathir yang telah membantu menjayakan sesi wawancara ini berlangsung.
Apakah pernyataan sikap yang sepatutnya kita ambil untuk meneruskan perjuangan meletakkan nama negara di persada antarabangsa ini? Apakah kita hanyalah mahu mengucapkan "merdeka, merdeka, merdeka" beberapa banyak kali sambil mengibarkan bendera Malaysia? Sepertimana kita melakukannya  beberapa kali pada tahun-tahun sebelum ini? Sekadar mengulang sebelum-sebelum ini? Tanpa mengambil sikap menyatakan bahawa kita mesti mendapatkan maksud "merdeka" itu?  Atau cukup sekadar mendapatkan maksud perkataan "merdeka" itu, tanpa ambil pusing tentang bagaimanakah boleh diterjemahkan maksud "merdeka" itu kepada pengujaran dan perbuatannya? Perlulah kita membincangkan apakah yang dipanggil perbuatan yang menerjemahkan makna perkataan “merdeka” itu? Apakah erti merdeka pemikiran? Apakah ertinya merdeka pengucapan? Apakah ertinya merdeka perbuatan? Cukupkah sekadar itu?  Syarahan khas oleh Dr. Alinor Kadir, pengasas Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran Malaysia (PPFPM).  Dimudahcara oleh Azan Safar dari Kawah Buku. Syarahan ini ditayangkan secara langsung pada 11 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
Kesedaran dan kepedulian masyarakat Malaysia dalam isu dan nasib OKU masih rendah. Kejadian terbaru di mana seorang atlet paralimpik Ukraine telah dikecam dengan dasyat oleh netizen Malaysia, termasuk hantaran-hantaran berupa penghinaan dan makian yang mempermainkan fizikal dan kecacatan atlet tersebut mencerminkan betapa runcingnya tahap pemikiran serta nilai masyarakat Malaysia dalam mendepani isu-isu OKU. Justeru itu persoalannya ialah mengapakah masih wujud nilai dan pemikiran yang sebegini teruk dalam masyarakat Malaysia walaupun kita sudah 64 tahun Merdeka dan bakal pula merayakan hari Malaysia yang ke-58 tidak lama lagi? Pernah tak berapa lama dahulu telah viral sebuah video seorang pemimpin gerakan mahasiswa Islam yang melakukan penghinaan terhadap OKU setelah mengambil tempat letak kereta yang dikhaskan untuk OKU. Adakah cara faham komuniti beragama terhadap OKU bermasalah sehinggakan pemimpin dari sebuah gerakan mahasiswa Islam melakukan penghinaan sebegitu rupa? Atau apakah pemikiran dan nilai masyarakat yang kehilangan empati serta belas ehsan itu juga adalah sebuah menifestasi daripada sikap kerajaan Malaysia sendiri yang tidak peka, tidak peduli dan malahan sering pula meminggirkan isu-isu OKU dalam pembuatan dasar-dasar negara? Atau apakah ketidakpedulian terhadap isu-isu OKU ini berakar umbi dari budaya masyarakat kita sendiri yang sering mendiamkan atau menyembunyikan sesuatu yang dianggap "cacat"? Kalau ianya telah menjadi suatu budaya, apakah ianya terhasil daripada interaksi-interaksi sosial yang berlaku antara anggota masyarakat dengan media misalnya. Bagaimana media, baik bercetak mahupun elektronik, dari surat khabar, radio, televisyen, buku dan novel hinggalah kepada media sosial menggambarkan OKU? Di mana OKU dalam naratif media-media ini? Bagaimana pula OKU sendiri memperjuangkan nasib dan kebajikan mereka? Apakah kerumitan-kerumitan yang wujud dalam melakukan advokasi, berurusan dengan kerajaan dan masyarakat serta cabaran-cabaran untuk menggembeleng kesatuan sama ada dari OKU sendiri atau ibu-bapa dan keluarga OKU bagi perjuangan untuk Cita Malaysia yang lebih baik adil dan terangkum buat OKU? Perbincangan ini membawakan 3 sosok iaitu Rosli Ibrahim (penulis), Ikmal Hisham Md Tah (Pensyarah Undang-Undang UiTM) dan Adhura Husna (BOLEH SPACE). Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 8 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
Muzik dan lagu tidak hanya berfungsi sebagai hiburan semata-mata. Bermula mungkin sebagai suatu persembahan buat entiti metafizik yang dianggap sebagai maha kuasa samada dalam bentuk tuhan, dewa, makhluk ghaib atau semangat yang dipercayai oleh sesuatu komuniti itu, kini menerusi proses pemodenan masyarakat, muzik dan lagu juga telah menjadi sumber peluahan ekspresi diri individu, bahan komoditi perdagangan dan perniagaan, produk pelancongan, alat kuasa lunak (soft power) serta identiti sesuatu bangsa, etnik dan suku kaum serta boleh juga berfungsi sebagai pembangkit kesedaran serta perlawanan. Muzik dan lagu juga turut digunakan oleh negara (state) sebagai suatu sarana untuk propaganda kerajaan dan  usaha-usaha negara dalam membina kesedaran kebangsaan bersama khususnya buat negara-negara yang rencam budaya. Malaysia sebagai sebuah negara yang rencam budaya tentunya tak terelak dalam usaha mentakrifkan muzik dan lagu sebagai sebahagian daripada identiti kebangsaan yang ingin ditonjolkan. Mungkin terdapat lima aras analisis yang boleh diteroka dalam konteks perbahasan tentang muzik, lagu dan identiti kebangsaan ini. Pertamanya takrif negara, keduanya takrif negeri-negeri yang ada dalam Persekutuan Malaysia, ketiganya takrif daripada masyarakat yang berbilang etnik dan suku kaum yang ada di Malaysia, keempatnya takrif pasar (market) tempatan serta antarabangsa, dan kelimanya takrif individu yang menghasilkan dan pengguna yang mengkonsumsikannya. Modeniti (modernity) dengan segala aparatus, tanda, simbol, fungsi, kehendak, situasi dan ideologi-ideologi yang mengiringinya telah menjadikan persoalan muzik, lagu dan identiti kebangsaan sesuatu yang rumit, kompleks dan mencabar untuk diuruskan. Di satu sisi proses globalisasi dan kapitalisme pasar yang cenderung menghakis identiti tempatan termasuk muzik dan lagu. Di satu sisi yang lain terdapat kebangkitan dan perlawanan yang dilakukan oleh aktivis-aktivis budaya tempatan terhadap proses penyeragaman identiti menerusi globalisasi. Manakala di satu sisi lain pula yang masih menjadi tandingan di tingkat kebangsaan ialah kita sesama kita warga Malaysia masih bergelut dan bergulat untuk mentakrifkan identiti kebangsaan Malaysia. Walaupun Dasar Kebudayaan Kebangsaan sudah 50 tahun berlalu, persoalan identiti kebangsaan masih belum terselesai. Justeru, dalam menangani kerumitan modeniti (modernity) khususnya dalam konteks pembinaan identiti kebangsaan dan hubung-kaitnya dengan muzik serta lagu, sebuah perbincangn melibatkan tiga orang pakar dalam bidang seni dan muzik iaitu Eddin Khoo (PUSAKA), Adil Johan (KITA UKM) dan Shazlin Amir Hamzah (KITA UKM), serta dimudahcara oleh Johan Ariff (Iqbal M), untuk membahas, merungkai dan seterusnya mencerahkan kita dalam perbincangan sempena dengan Bulan Hari Kebangsaan dan Bulan Hari Malaysia yang sama-sama kita sambut pada tahun ini. Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 3 September 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
Perlembagaan merupakan undang-undang asas dan sumber tertinggi perundangan bagi sesebuah negara moden. Perlembagaan menyediakan corak kerajaan dan perincian kepada pengagihan kuasa antara pelbagai badan kerajaan dan had-had kerajaan ke atas yang ditadbir. Undang-undang asas ini yang ada dalam kebanyakan negara telah berkembang melalui proses sejarah yang panjang dan boleh dijejaki ke masa silam. Pada zaman moden perlembagaan adalah suatu penyataan perwakilan kepada keinginan kolektif rakyat. Begitu hal-nya turut berlaku dalam negara moden bernama Malaysia. Perlembagaan Persekutuan Malaysia tidak terbentuk dalam hampawa. Ada konteks dan proses sejarah yang panjang, malah mungkin boleh dijejak sedari beratus tahun dulunya. Selembar kertas perlembagaan tersebut, menjadi petunjuk asas kepada aspirasi, cara bertatih, suara paling dalam, lunak impian segenap warga yang mendiami ranah bernama Malaysia. Tanggal 27 Ogos 1957, lembaran perundangan ini berjaya diratifikasi dan "came into force". Bermula dari tarikh kemerdekaan sehingga ke hari ini, lembaran tersebut sudah mengalami beberapa pindaan—semuanya atas maksud untuk menyesuaikan pada konteks semasa, hal berbangkit, dan keadaan tertentu yang memerlukan kepada sebuah pindaan. Menerusi siri #MenganyamNusa, bersempena tarikh ratifikasi tersebut, kita membuat ingatan kembali, menelusur jalan-jalan sejarah sehingga lembaran perundangan ini diratifikasi bersama DUA orang peguam, iaitu GK Ganesan (GKtv) dan Azira Aziz (Messrs Azira Aziz), menyelongkar sisi-sisi yang mungkin jarang kedengaran. Perbincangan ini penting, sekurangnya itu yang kami fikir, kepada usaha pembinaan identiti Bangsa Malaysia. Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 27 Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
Catatan sejarah merekodkan Orang Asli mempunyai kedudukan penting dalam unit politi keRAJAan Melayu sebelum kolonial menjarah Tanah Melayu. Peranan penting yang dimainkan dalam membekalkan sumber alam kepada orang Melayu untuk didagang menjadikan orang darat dan orang laut menjalin kerjasama yang istimewa bersama pembesar keRAJAan pada ketika itu. Pada suatu ketika juga, Orang Asli mempunyai kedudukan yang tinggi dalam struktur kepimpimpinan masyarakat, seumpama Biduanda Waris di Negeri Sembilan. Namun menjengah 60 tahun tahun selepas merdeka, naratif ini telah lenyap sama sekali. Naratif gantinya adalah penindasan dan perlawanan dengan tangan yang diikat dalam mempertahankan hak, identiti dan warisan Orang Asli. Justeru persoalan yang besar, dalam pada Malaysia mengecapi sebuah kemerdekaan—dan segala nikmat sentosanya, di manakah Orang Asli di balik sela-sela perjalanan panjang naratif pembebasan ini? Perbincangan ini, membuka tirai #MenganyamNusa, membawakan dua orang narasumber dari Suku Semai iaitu Dayoung Shaniera Seliman dan  Mahat Akiya, yang sudah acap kali menimbulkan soal yang sama. Hari ini kita belum ketemu sebarang jawapan, atau mungkin sudah ada, tetapi sisi-sisi lain pula tidak membantu untuk mengubah kembali naratif pembebasan ini. Kami mengajak pendengar turut serta dalam perbincangan ini, bertanyakan soalan, melemparkan pandangan, dengan harapan sebuah kesedaran boleh dirungkai dan dijadikan suatu loncatan untuk perubahan boleh berlaku. Bual bicara ini ditayangkan secara langsung pada 22 Ogos 2021 bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia. Klip video penuh boleh ditonton menerusi saluran Youtube Kawah Buku.
Siri #MenjadiMalaysia memasuki bahagian terakhir bersama Dr. Alinor dalam membincangkan kerajaan Champa, dengan perbincangan dimulakan pada topik mengapa kajian mengenai Champa mengundang risiko dari sudut politik antarabangsa. Hal ini dijelaskan oleh Dr. Alinor, akan sejarah gerakan pemberontakan dan kemerdekaan Champa dari negara Vietnam. Perkara ini telah mengundang kesukaran buat para pengkaji khususnya, apabila kajian-kajian mengenai Champa tidak mudah dilakukan dalam negara Vietnam, atas faktor pemantauan pihak berkuasa di sana. Perbincangan turut menyentuh persoalan penting mengenai hubungan antara kerajaan Champa dan kerajaan-kerajaan lama di Semenanjung Tanah Melayu. Dr. Alinor juga berkongsikan beberapa teori penting yang perlu para pengkaji Champa kuasai untuk mengkaji dan memahami wacana pensejarahan Champa secara mendalam.
Perbincangan siri #MenjadiMalaysia bersambung lagi, masih bersama dengan tetamu istimewa — Dr. Alinor — untuk memperincikan perbincangan tentang Champa. Mad Koy memulakan perbincangan dengan mempertanyakan darihal perkembangan terkini kajian dan penyelidikan Champa. Dr, Alinor mencerakinkan kepada dua hal iaitu apa yang kita tahu, dan apa yang kita boleh berbuat mengenainya. Memetik nama seorang penyelidik Champa, Arlo Griffiths yang menyebut bahawa terdapat 50 penemuan prasasti yang baharu, semenjak Cordes sehingga tahun 2000. Hal ini sahaja menunjukkan suatu keperluan kepada usaha transliterasi manuskrip dilakukan. Demikian juga, Dr. Alinor berkongsikan usaha yang dilakukan oleh Prof. Shaharir Mohd Zain dalam penyelidikan Champa dengan menganalisis data-data saintifik yang wujud di dalam teks prasasti. Perbincangan turut menyentuh teori kedatangan Islam ke Asia Tenggara dan beberapa kritik sekitarnya.
Menyambung perbincangan dari minggu lepas dan siri #MenjadiMalaysia, Dr. Alinor bermula dengan perbincangan mengenai asal usul nama Champa berdasarkan kajian-kajian yang pernah dibuat oleh para pengkaji Champa, antaranya kerajaan tersebut bermula dengan nama Champa-Desa, dan Champa-Pura—nama-nama yang diberikan sendiri oleh orang Cam. Dr. Alinor turut menghuraikan teori nama Champa yang berasal dari sebuah kota di India, dengan membentangkan sejarah Universiti Nalanda, sebuah pusat pengajian terbesar bagi agama Buddha di mana terdapatnya sebuah asram (kolej) yang diberi nama Asram Srivijaya. Dr. Alinor turut menerangkan kaedah pemetaan (mapping) dalam pengkajian sejarah dengan membawa contoh bagaimana dakwaan bahawa bertapaknya Islam di Champa boleh dibuktikan.
Dalam episod minggu ini dan beberapa episod kehadapan, #MenjadiMalaysia mengundang tetamu khas iaitu Dr. Mohammad Alinor Abdul Kadir untuk membicarakan wacana Champa secara lebih mendalam dan memberi ulasan kepada sumber kajian Champa yang bersifat primer. Digandingkan dengan Mad Koy, Dr. Alinor memberi keterangan dari segi latar belakang penglibatannya dalam kajian Champa, bermula dengan suatu tugasan yang diberikan oleh Prof. Shaharir Mohamad Zain ketika Dr. Alinor sedang melengkapkan pengajian di United Kingdom. Kemudian, kajiannya semakin mendalam sehingga ke hari ini, Dr. Alinor sedang mengusahakan kajian prasasti Champa, Funan, Chenla, Srivijaya, dan beberapa lagi kerajaan lama di Asia Tenggara.
Seorang sarjana, intelektual awam dan pemikir politik yang berada dalam kelasnya tersendiri, Rustam A. Sani telah pergi meninggalkan kita pada hari ini, 13 tahun yang lalu. Pemergiannya pada usia yang boleh dikira muda, mengejutkan ramai orang terutamanya mereka yang rapat mengikuti wacana sains sosial di Malaysia. Dari buah fikirnya, terhasil rencana, makalah serta buku yang membincangkan persoalan penting buat masyarakat Malaysia amnya dan orang Melayu khususnya. Polemik "Melayu Baru" suatu ketika dulu telah diracik dengan lebih halus oleh Rustam dalam penulisan beliau untuk memberikannya suatu nafas yang lebih segar dalam konteks Malaysia yang majmuk. Dari ketajaman fikiran Rustam juga telah lahir idea 'bangsa idaman' menerusi konsep Bangsa Malaysia yang menjadi teras kepada Wawasan 2020. Beberapa gagasan penting lain seputar persoalan nasional turut dinukilkan oleh Rustam dalam teks-teks beliau dan beliau jugalah sosok yang gencar menganjurkan suatu takrif baharu nasionalisme Malaysia yang dikembang dari nasionalisme Melayu. Dalam peringatan ini, Prof Jomo Kwame Sundaram dan anak perempuan Rustam, Puan Ariani telah berkongsikan sisi-sisi Rustam yang jarang diperlihatkan kepada khalayak, dan anekdot kehidupan seorang sarjana besar yang pernah menabur daya fikir dan usaha tenaga yang luhur untuk sebuah cita-cita melahirkan bangsa idaman bernama Bangsa Malaysia.
During his formative years at the University of Malaya (Singapore), James believed that "if the University is to play its important role in the development of the country it must become the advocate and guardian of the concept of the Malayan Nation and work for the achievement of this idea". But before university his youthful adventures took him into the Indian National Army—he fought at the Battle of Imphal—then to Rabindranath  Tagore’s University at Shantiniketan, also serving as an ambulance driver during India's brutal Partition. Returning to Malaya in the late 40s James' entered University and was catapulted into the politics of pre-Independence Singapore, with three stints under detention. In that decade and a half James' made important contributions to economic analysis and governance, but retired from active politics after being expelled from Singapore. His nephew, Sharaad Kuttan presents a brief sketch of these events from the police arrest during his university years, his detention under the ISA, to the formation of Malaysia, to the ideation of NEP and his retreat from active politics and the pursuit of his legal career. Today, on the day he passed away, we remember his contributions to the nation-state we inherited today, called Malaysia.
Siri #MenjadiMalaysia dalam episod minggu ini merungkai persoalan hubungkait antara Champa dan kerajaan di Semenanjung Tanah Melayu, terutamanya Melaka menerusi catatan dalam teks Sulalatus Salatin dan juga kerajaan di Kelantan yang menghantar bantuan ketenteraan kepada Champa sewaktu perang melawan Viet. Mad Koy mengajukan bahawa unsur agama memainkan peranan penting dalam membentuk kesatuan dan hubungan antara kerajaan Champa dan kerajaan-kerajaan Melayu di Tanah Melayu. Huraian turut menyentuh mengapa perbincangan mengenai Champa adalah penting dalam memberi kefahaman kepada pendengar tentang persoalan kemenjadian Malaysia, pada hari ini.
Perbincangan dalam episod seterusnya siri #MenjadiMalaysia berkalih ke zaman-zaman akhir kerajaan purba Champa. Kosmologi dan pengaruh India turut mula terlerai sedikit demi sedikit dari kerajaan Champa, dan yang tersisa hanyalah pengamalan budayanya. Pada babad ini, telah berlakunya siri pemberontakan yang dianggap sebagai peristiwa penting untuk menuruti hubungan serantau Champa dan kerajaan-kerajaan lama di Semenanjung Tanah Melayu. Antara yang dihurai oleh Mad Koy adalah pemberontakan diketuai oleh Katip Sumat yang berasal dari Kelantan, memimpin tentera Champa bagi menentang kerajaan Viet.
Sepanjang Champa melalui proses Indianisasi, telah tercatatnya beberapa titik penting yang pada pandangan Mad Koy, wajar diketengahkan dalam usaha menuruti sejarah kerajaan purba tersebut. Demikianlah, dalam episod siri #MenjadiMalaysia kali ini dibentangkan. Dalam kurun ke-10, berlakunya beberapa siri pertembungan antara kerajaan Champa dan kerajaan Viet. Menurut Mad Koy, peristiwa-peristiwa ini telah menunjukkan sisi wewenang dalam kalangan pemerintah dan raja kerajaan Champa apabila mereka menyerahkan wilayah kekuasaannya kepada pihak yang menang dalam konflik, atau juga mengaturkan perkahwinan antara keluarga diraja. Chế Bồng Nga, antara pemerintah Champa yang dikatakan hampir-hampir mengalahkan kerajaan Viet dan menduduki kota Viet. Perlu diingatkan bahawa, kerajaan Champa tidak bersifat homogen (homogeneous) tetapi lebih kepada bercirikan mandala iaitu pusat kekuasaan terletak pada kerajaan-kerajaan kecil yang membentuk suatu kuasa besar bernama Champa. Malah turut tercatat berlakunya siri pemberontakan sesama kerajaan-kerajaan dalam Champa itu sendiri.
Champa melalui tiga era utama, iaitu era sebelum proses indianisasi, sewaktu indianisasi, dan selepas indianisasi. Berikut adalah rangkuman yang cuba disampaikan oleh Mad Koy menerusi episod ini dalam siri #MenjadiMalaysia. Sejarah Champa ditandai dengan siri peperangan dengan kerajaan dalam dinasti Viet dan kerajaan Khmer, dengan Champa berada di tengah antara kedua-dua kerajaan tersebut. Ditambah lagi dengan faktor kedudukan geografinya, pada akhirnya kerajaan purba ini lenyap.
Siri #MenjadiMalaysia masih dalam perbincangan mengenai Champa, dengan pemfokusan diberi kepada bentuk-bentuk dan rupa kerajaan purba Champa dari segi sosial, ekonomi, dan politiknya. Mad Koy menghuraikan perihal bentuk geografi Champa yang berlatarkan Banjaran Annam (Annamite Range), yang berjajar dari Quảng Bình sehingga ke Phan Rang—dan keterkaitannya dengan faktor lenyapnya kerajaan Champa pada era terkemudian. Perbincangan turut menyentuh perihal bentuk agama, dalam kerajaan Champa yang bersifat sinkritik (syncretic) hasil pertembungan antara amalan-amalan Hindu, Buddha, dan animisme. Dalam konteks ekonomi pula, Champa masih dalam kerangka ekonomi feudal di mana wujudnya dua kelas ekonomi—kelas istana dan kelas rakyat bawahan.
Comments 
Download from Google Play
Download from App Store